MEMORANDUM BERSAMA
MAHASISWA ISMP
UNIVERSITI PENDIDIKAN SULTAN IDRIS
MENUNTUT HAK PENEMPATAN GRADUAN ISMP
KEPADA : Yang Amat Berhormat Tarikh : 3 November 2011
Tan Sri Muhyiddin Yassin
Timbalan Perdana Menteri
Merangkap
Menteri Pelajaran Malaysia
PENDAHULUAN
Penubuhan dan pengiktirafan Universiti Pendidikan Sultan Idris sebagai institut pengajian tinggi ulung yang memberi fokus dan komitmen terhadap usaha meningkatkan profesion keguruan suatu masa dahulu dianggap sebagai usaha bersejarah. Buat julung kalinya, negara kita mempunyai sebuah universiti khusus yang mampu mengeluarkan pendidik berkualiti bagi memastikan sektor pendidikan negara terus maju. Mahasiswa yang menuntut ilmu di Universiti ini rata-rata adalah bakal graduan yang bakal memegang ijazah pendidikan; satu pengiktirafan kukuh terhadap kelayakan graduan UPSI untuk bergelar pendidik ataupun guru.
Walaubagaimana pun, setelah beberapa tahun, setelah pelbagai dasar dirangka, pelbagai kajian dilaksanakan, universiti ini kini berhadapan dengan satu krisis yang berpanjangan dan masih belum menampakkan jalan penyelesaian iaitu penempatan graduan di sekolah-sekolah serata egara. Masalah penempatan ini telah berlanjutan sebegitu lama. Pelbagai jalan usaha dan rundingan baik dari pihak pengurusan, pentadbir, mahupun peringkat mahasiswa telah jatuh sia-sia. Usaha berterusan pelbagai pihak untuk menegaskan bahawa hak penempatan seharusnya menjadi milik graduan-graduan ISMP hampir menjadi seperti mencurah air ke daun kladi. Semuanya tidak diambil serius oleh pihak berwajib.
Mahasiswa ISMP terutama sekali di UPSI kini berasa lemas dan tertekan. Dengan segulung ijazah yang diperolehi hasil usaha keras selama 4 tahun pengajian bakal jadi segulung kertas kosong yang tidak laku di pasaran. Umum ketahui, graduan UPSI kebanyakkannya hanya mampu menceburi bidang pendidikan. Malah, latihan yang diterima di kampus dan kuliah juga bukan latihan untuk menjadi akauntan, arkitek, doktor, mahupun peguam, sebaliknya adalah pendidik, atau secara jelasnya; GURU. Di Negara ini, penempatan guru pula ditentukan oleh pihak kementerian.
Kenyataan terbaru Timbalan Perdana Menteri, merangkap Menteri Pelajaran, Tan Sri Muhyiddin Yassin baru-baru ini yang dipetik dari Buletin Utama TV3 30 Oktober 2011 (Ahad) telah mengesahkan status graduan ISMP: kami tiada peluang kerja yang cerah. YAB TPM malah secara bersahaja mengusulkan agar graduan ISMP mencari kerja lain dahulu. Di peringkat mahasiswa, kenyataan ini telah menimbulkan kekecewaan. Banyak hati yang remuk, banyak mata yang bergenang tangisan.
Kami di peringkat pimpinan mahasiswa menerima banyak maklum balas aduan serta keluhan dari mahasiswa dan graduan yang kecewa dengan kenyataan tersebut. Ramai beranggapan, kenyataan TPM itu sebagai tidak bertanggungjawab.
Keluhan ini sebenarnya ada asasnya. Di peringkat mahasiswa, banyak pihak telah menjalankan kajian kes bagi menyokong tuntutan kami ini. Antaranya, mengikut kenyataan Timbalan Menteri Pelajaran, kekosongan jawatan guru di sekolah akan di isi oleh lebih 7000 lepasan GSTT atau Guru Sandaran Tidak Tetap. Mengapa hal ini berlaku? Mengapa kekosongan itu di isi oleh sekelompok golongan yang pada hemat kami, jauh di bawah kelayakan sebenar untuk bergelar guru? Mengapa kekosongan itu tidak diberi kepada graduan ISMP yang ternyata telah dilatih secara khusus untuk menjadi guru?
Pelbagai lagi persoalan dan perdebatan mengenai isu ini boleh dibincangkan. Kami telah pun menyediakan sebuah kertas kerja untuk menyokong tuntutan kami dan akan kami lampirkan bersama.
TUNTUTAN
Berhadapan dengan isu yang melanda ini, kami di peringkat mahasiswa telah sepakat, dengan menolak segala ideologi dan pegangan politik mahupun peribadi, mengemukakan tuntutan demikian untuk diberi perhatian serius dan diselesaikan DENGAN KADAR SEGERA.
1. KAMI MAHASISWA PENDIDIKAN MENUNTUT AGAR KERAJAAN MELALUI KEMENTERIAN PELAJARAN MEMBERI JAMINAN POSTING GRADUAN ISMP YANG TELAH DIBERI KEPADA GSTT DAN DPLI/KPLI.
2. KAMI MAHASISWA PENDIDIKAN MENUNTUT AGAR KEMENTERIAN MENGELUARKAN UNJURAN PENEMPATAN YANG LEBIH TEPAT DAN TELUS AGAR PIHAK UNIVERSITI DAPAT MENYEDIAKAN JUMLAH GRADUAN YANG MENCUKUPI DAN TIDAK LEWAH.
3. KAMI MAHASISWA PENDIDIKAN MENUNTUT AGAR KEMENTERIAN MEMBERI PENGIKTIRAFAN YANG LEBIH KEPADA PEMEGANG IJAZAH PENDIDIKAN BERBANDING YANG LAIN DALAM PROFESION KEGURUAN.
4. KAMI MAHASISWA PENDIDIKAN MENUNTUT AGAR DIADAKAN BAJET KHAS UNTUK PENJAWATAN GURU BARU SERTA MEMPERKEMAS MEKANISME UNJURAN GURU BARU.
5. KAMI MAHASISWA PENDIDIKAN MENUNTUT AGAR MENGHENTIKAN PENGAMBILAN GURU SANDARAN TIDAK TERLATIH (GSTT) SEBAGAI GURU TETAP. GSTT SEHARUSNYA MENJADI SOKONGAN, BUKAN PILIHAN UTAMA ATAU PRIORITI. USAHA INI SECARA JELAS MENYUMBANG KEPADA MASALAH GURU TIDAK PROFESIONAL DAN TIDAK BERKUALITI.
6. KAMI MAHASISWA PENDIDIKAN MENUNTUT AGAR KEMENTERIAN TIDAK MENGAMBIL JALAN MUDAH UNTUK MENGURANGKAN MASALAH PENGANGGURAN DENGAN MENAWARKAN PELAN DPLI/KPLI KEPADA LEPASAN IJAZAH BUKAN PENDIDIKAN. USAHA INI DILIHAT SEBAGAI USAHA MEMBUNUH USAHA MELAHIRKAN GURU PROFESIONAL.
7. KAMI MAHASISWA PENDIDIKAN MENUNTUT AGAR DIPERKEMASKAN LAGI PELARASAN ANTARA KEMENTERIAN PELAJARAN MALAYSIA DENGAN KEMENTERIAN PENGAJIAN TINGGI MALAYSIA BERKAITAN HAL EHWAL POSTING PARA GRADUAN ISMP.
Memorandum ini telah dikeluarkan dan disokong oleh pimpinan dan aktivis mahasiswa dari Universiti Pendidikan Sultan Idris.
Memorandum ini juga telah mendapat persetujuan lebih 10,000 mahasiswa ISMP dari UPSI dan IPT yang turut bekerjasama. Kami telah lampirkan tandatangan mahasiswa yang bersetuju dengan tuntutan kami.
Meletakkan yang HAK kepada tempatnya adalah kewajipan seorang pemimpin.
Sekian, terima kasih.
ape la ke bangang btul korang ni..nak jd cikgu tp lembab x boleh pikir.. u all sedang mngikuti kursus..yang gstt br nk mngikuti kursus mcm u all..mcmana bdk2 nk pndai kalau bakal cikgu pon bangang..isk isk isk..yg gstt tu pon jgn jd bangang bodoh lembab kalau taun dpan pn ade intake baru..ape nk jd dgn org malaysia ni..emosi manjang...
ReplyDeletesedapnye bahasa...saudara tidak berada di tempat kami..jadi tidak perlulah nak komen lebih-lebih..
ReplyDelete