Sunday, 6 November 2011

GPMS PERJUANGAN BANGSA


GPMS: Keluarkan klausa tak sah dalam AUKU

(PRESIDEN GPMS KEBANGSAAN)

Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS) berpendapat klausa 15(5) Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU) yang diputuskan Mahkamah Rayuan sebagai menyalahi perlembagaan perlu dibuang terus.

"Kalau tidak sah, ia perlu dikeluarkan, (termasuk) klausa-klausa yang lain. Banyak yang perlu dipinda," kata presidennya Jais Abdul Karim.

Bagaimanapun, secara keseluruhannya, GPMS berpendirian AUKU bukan bertujuan menghalang mahasiswa berpolitik tetapi sebagai "alat kawalan" memandangkan tujuan utama mereka ke universiti untuk belajar.

Bercakap kepada Malaysiakinipetang ini, Jais berkata pindaan terhadap akta itu perlu dibuat dengan lebih relevan mengikut kehendak semasa dan sesuai dengan kematangan mahasiswa.

"Rombakan kepada AUKU untuk mengawal, bukan menghalang mahasiswa. Kalau halang mahasiswa, (masih ada) pelbagai cara untuk (mereka) berpolitik," katanya.

Mahkamah Rayuan semalam memutuskan bahawa Seksyen 15(5) akta berkenaan, yang membenarkan universiti mengambil tindakan disiplin terhadap pelajarnya, tidak sah dan mencabul kebebasan bersuara.

Tak perlu ke Mahkamah Persekutuan

Ditanya sama ada kerajaan perlu membawa kes itu ke Mahkamah Persekutuan, Jais berkata beliau tidak bersetuju dengan tindakan tersebut.

"Tumpu (saja) kepada pengubahsuaian akta tersebut," katanya.

"Mahasiswa perlu lebih diberi kebebasan. Lagi disekat lagi memberontak. Mereka terdedah dengan ilmu baru. Mereka terdedah dengan informasi terkini. Kesedaran mahasiswa berpolitik kini lebih tinggi."

Jais juga mencadangkan universiti menyediakan subjek elektif  mengenai politik semasa dalam silibus pengajian kepada mahasiswa yang berminat.

"Berdasarkan silibus itu, mahasiswa dibawa ke mana-mana muktamar, persidangan agung atau pilihan raya kecil sebagai pendedahan untuk menggalakkan mahasiswa (berpolitik).

"Kemudian panggil ahli-ahli politik bercakap dan pensyarah tentukan arah tuju mereka dari segi falsafah dan gaya politik," katanya.


SUMBER : MALAYSIAKINI

Saturday, 5 November 2011

SELAMAT MENYAMBUT HARI RAYA AIDILADHA 2011

PERJUANGAN GABUNGAN PELAJAR MELAYU SEMENANJUNG (GPMS)

DOKUMENTARI GPMS MENITI PERJUANGAN ANAK BANGSA




LAGU RASMI GPMS




Timbulnya Gabungan Pelajar Melayu,
Setelah menempuh halangan,
Bahagia hendaknya memimpin pelajar,
Bagi ibu kandungan.


Kekal berpanjangan, khidmat mulia,
Dengan tulus dan setia,
Cekal Bersatu lambang kita,
Menuntut hingga berjaya *(ulang dua kali)



Ciptaan : Allahyarham Yub Rawan.

MEMORANDUM MAHASISWA/I UPSI KEPADA TPM MERANGKAP MENTERI PELAJARAN



MEMORANDUM BERSAMA
MAHASISWA ISMP
UNIVERSITI PENDIDIKAN SULTAN IDRIS

MENUNTUT HAK PENEMPATAN GRADUAN ISMP




KEPADA :     Yang Amat Berhormat                 Tarikh : 3 November 2011
                        Tan Sri Muhyiddin Yassin
                        Timbalan Perdana Menteri
                        Merangkap
                        Menteri Pelajaran Malaysia


PENDAHULUAN

Penubuhan dan pengiktirafan Universiti Pendidikan Sultan Idris sebagai institut pengajian tinggi ulung yang memberi fokus dan komitmen terhadap usaha meningkatkan profesion keguruan suatu masa dahulu dianggap sebagai usaha bersejarah. Buat julung kalinya, negara kita mempunyai sebuah universiti khusus yang mampu mengeluarkan pendidik berkualiti bagi memastikan sektor pendidikan negara terus maju. Mahasiswa yang menuntut ilmu di Universiti ini rata-rata adalah bakal graduan yang bakal memegang ijazah pendidikan; satu pengiktirafan kukuh terhadap kelayakan graduan UPSI untuk bergelar pendidik ataupun guru.

Walaubagaimana pun, setelah beberapa tahun, setelah pelbagai dasar dirangka, pelbagai kajian dilaksanakan, universiti ini kini berhadapan dengan satu krisis yang berpanjangan dan masih belum menampakkan jalan penyelesaian iaitu penempatan graduan di sekolah-sekolah serata egara. Masalah penempatan ini telah berlanjutan sebegitu lama. Pelbagai jalan usaha dan rundingan baik dari pihak pengurusan, pentadbir, mahupun peringkat mahasiswa telah jatuh sia-sia. Usaha berterusan pelbagai pihak untuk menegaskan bahawa hak penempatan seharusnya menjadi milik graduan-graduan ISMP hampir menjadi seperti mencurah air ke daun kladi. Semuanya tidak diambil serius oleh pihak berwajib.

Mahasiswa ISMP terutama sekali di UPSI kini berasa lemas dan tertekan. Dengan segulung ijazah yang diperolehi hasil usaha keras selama 4 tahun pengajian bakal jadi segulung kertas kosong yang tidak laku di pasaran. Umum ketahui, graduan UPSI kebanyakkannya hanya mampu menceburi bidang pendidikan. Malah, latihan yang diterima di kampus dan kuliah juga bukan latihan untuk menjadi akauntan, arkitek, doktor, mahupun peguam, sebaliknya adalah pendidik, atau secara jelasnya; GURU. Di Negara ini, penempatan guru pula ditentukan oleh pihak kementerian.

Kenyataan terbaru Timbalan Perdana Menteri, merangkap Menteri Pelajaran, Tan Sri Muhyiddin Yassin baru-baru ini yang dipetik dari Buletin Utama TV3 30 Oktober 2011 (Ahad) telah mengesahkan status graduan ISMP: kami tiada peluang kerja yang cerah. YAB TPM malah secara bersahaja mengusulkan agar graduan ISMP mencari kerja lain dahulu. Di peringkat mahasiswa, kenyataan ini telah menimbulkan kekecewaan. Banyak hati yang remuk, banyak mata yang bergenang tangisan.

Kami di peringkat pimpinan mahasiswa menerima banyak maklum balas aduan serta keluhan dari mahasiswa dan graduan yang kecewa dengan kenyataan tersebut. Ramai beranggapan, kenyataan TPM itu sebagai tidak bertanggungjawab.

Keluhan ini sebenarnya ada asasnya. Di peringkat mahasiswa, banyak pihak telah menjalankan kajian kes bagi menyokong tuntutan kami ini. Antaranya, mengikut kenyataan Timbalan Menteri Pelajaran, kekosongan jawatan guru di sekolah akan di isi oleh lebih 7000 lepasan GSTT atau Guru Sandaran Tidak Tetap. Mengapa hal ini berlaku? Mengapa kekosongan itu di isi oleh sekelompok golongan yang pada hemat kami, jauh di bawah kelayakan sebenar untuk bergelar guru? Mengapa kekosongan itu tidak diberi kepada graduan ISMP yang ternyata telah dilatih secara khusus untuk menjadi guru?

Pelbagai lagi persoalan dan perdebatan mengenai isu ini boleh dibincangkan. Kami telah pun menyediakan sebuah kertas kerja untuk menyokong tuntutan kami dan akan kami lampirkan bersama.

TUNTUTAN

Berhadapan dengan isu yang melanda ini, kami di peringkat mahasiswa telah sepakat, dengan menolak segala ideologi dan pegangan politik mahupun peribadi, mengemukakan tuntutan demikian untuk diberi perhatian serius dan diselesaikan DENGAN KADAR SEGERA.


1.      KAMI MAHASISWA PENDIDIKAN MENUNTUT AGAR KERAJAAN MELALUI KEMENTERIAN PELAJARAN MEMBERI JAMINAN POSTING GRADUAN ISMP YANG TELAH DIBERI KEPADA GSTT DAN DPLI/KPLI.

2.      KAMI MAHASISWA PENDIDIKAN MENUNTUT AGAR KEMENTERIAN MENGELUARKAN UNJURAN PENEMPATAN YANG LEBIH TEPAT DAN TELUS AGAR PIHAK UNIVERSITI DAPAT MENYEDIAKAN JUMLAH GRADUAN YANG MENCUKUPI DAN TIDAK LEWAH.

3.      KAMI MAHASISWA PENDIDIKAN MENUNTUT AGAR KEMENTERIAN MEMBERI PENGIKTIRAFAN YANG LEBIH KEPADA PEMEGANG IJAZAH PENDIDIKAN BERBANDING YANG LAIN DALAM PROFESION KEGURUAN.

4.      KAMI MAHASISWA PENDIDIKAN MENUNTUT AGAR DIADAKAN BAJET KHAS UNTUK PENJAWATAN GURU BARU SERTA MEMPERKEMAS MEKANISME UNJURAN GURU BARU.

5.      KAMI MAHASISWA PENDIDIKAN MENUNTUT AGAR MENGHENTIKAN PENGAMBILAN GURU SANDARAN TIDAK TERLATIH (GSTT) SEBAGAI GURU TETAP. GSTT SEHARUSNYA MENJADI SOKONGAN, BUKAN PILIHAN UTAMA ATAU PRIORITI. USAHA INI SECARA JELAS MENYUMBANG KEPADA MASALAH GURU TIDAK PROFESIONAL DAN TIDAK BERKUALITI.

6.      KAMI MAHASISWA PENDIDIKAN MENUNTUT AGAR KEMENTERIAN TIDAK MENGAMBIL JALAN MUDAH UNTUK MENGURANGKAN MASALAH PENGANGGURAN DENGAN MENAWARKAN PELAN DPLI/KPLI KEPADA LEPASAN IJAZAH BUKAN PENDIDIKAN. USAHA INI DILIHAT SEBAGAI USAHA MEMBUNUH USAHA MELAHIRKAN GURU PROFESIONAL.

7.      KAMI MAHASISWA PENDIDIKAN MENUNTUT AGAR DIPERKEMASKAN LAGI PELARASAN ANTARA KEMENTERIAN PELAJARAN MALAYSIA DENGAN KEMENTERIAN PENGAJIAN TINGGI MALAYSIA BERKAITAN HAL EHWAL POSTING PARA GRADUAN ISMP.


Memorandum ini telah dikeluarkan dan disokong oleh pimpinan dan aktivis mahasiswa dari Universiti Pendidikan Sultan Idris.

Memorandum ini juga telah mendapat persetujuan lebih 10,000 mahasiswa ISMP dari UPSI dan IPT yang turut bekerjasama. Kami telah lampirkan tandatangan mahasiswa yang bersetuju dengan tuntutan kami.
Meletakkan yang HAK kepada tempatnya adalah kewajipan seorang pemimpin.


Sekian, terima kasih.

Thursday, 3 November 2011

Tamadun Melayu dan PPSMI


Teras-teras jati diri kebangsaan Malaysia berpaksi kepada bahasa Melayu dan agama Islam(tanpa menafikan hak serta kepentingan bahasa dan kepercayaan lain).

Di dalam Perlembagaan Persekutuan, antara perkara yang disebut ialah Perkara 32(1) yang memaktubkan  kedudukan raja-raja Melayu;  Perkara 152(1) tentang bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan dan bahasa rasmi; dan Perkara 3(10) mengenai Islam sebagai agama Persekutuan.

Berhubung perkara yang menyentuh bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan dan bahasa rasmi, mereka yang berjiwa Melayu dan rakyat Malaysia yang terbuka minda untuk bergerak ke hadapan bersama-sama jati diri kebangsaannya, pastilah ingin melihat bahasa kebangsaan itu diperkasakan sebagai bahasa rasmi dan bahasa kebangsaan, termasuk sebagai bahasa ilmu pengetahuan.

Golongan yang tidak yakin bahawa bahasa Melayu boleh menjadi bahasa ilmu tinggi, lebih disebabkan kelemahan mereka menguasai bahasa Melayu, bukan kerana kelemahan bahasa Melayu. Dan semua pejuang bahasa kebangsaan bukanlah golongan fanatik, berpandangan jumud atau berusaha mengundurkan bangsanya ke belakang.

Pejuang-pejuang  bahasa selalu memetik kebijakan Hang Tuah yang menguasai 12 bahasa, sebagai suatu unjuran profetik ‘pujangga penulis’ karya agung itu  bahawa setiap bangsa akan menjadi lebih maju jika dapat menguasai lebih daripada satu bahasa. Akan tetapi walaupun menguasai pelbagai bahasa, setiap bangsa harus meletakkan bahasa kebangsaannya dimercunya yang tinggi, atau seperti sepotong puisi Sasterawan Negara Usman Awang, “manakan sama bahasa bunda.”

Jika menurut tiga kriteria yang dikenalpasti oleh Charles Ferguson, sesungguhnya bahasa Melayu sudah dianggap sebagai ‘bahasa maju.’

Tiga kriteria Charles Ferguson itu ialah (a) Bahasa itu sudah mempunyai sistem tulisan. Dalam hubungan ini bahasa Melayu telah mempunyai sistem tulisannya sendiri – sama ada dalam jawi atau pun rumi; (b) Bahasa itu sudah mempunyai suatu ragam atau bentuk yang mengatasi segala dialek bahasa itu.   Bahasa Melayu jelas mengatasi segala dialek, kerana di Malaysia dialek tidak mempunyai penerbitan bakunya; dan (c) Bahasa itu sudah mampu digunakan sebagai alat untuk mengungkapkan ilmu dan pemikiran moden.

Ini jelas terbukti dengan penerbitan pelbagai buku  dalam bidang dan subbidang ilmu pengetahuan dalam bahasa Melayu, sejak kurun ke-12 Masihi lagi, dan memasuki era ‘moden’nya sejak sebelum merdeka lagi hingga memuncak mutakhir ini.

Tradisi ilmu dalam bahasa Melayu telah berkembang, termasuk di IPTA, umpamanya di UKM sejak awal tahun 1970-an. Tokoh ilmuwan Selangor 2011, Dr Shahril Mohamad Zain (mantan profesor fizik dan matematik di UKM) pernah membentangkan fakta bahawa UKM telah menghasilkan lebih 450 tesis Ph.D dan lebih 2,000 tesis Sarjana (MA & M.Sc.) dalam bidang sains dan pelbagai bidang lain, yang ditulis dalam bahasa Melayu.

Ini membuktikan bahawa bahasa Melayu boleh menjadi bahasa pengantar untuk pelbagai bidang ilmu pengetahuan moden di IPT, dan memanfaatkan penguasaan bahasa asing sebagai pelengkap sebagaimana saranan profetik Hang Tuah.

Tamadun Melayu boleh diperkasakan jika terdapat ilmu-ilmu pengetahuan moden (termasuk sains & matematik) disampaikan dan ditulis dalam bahasa ini (Melayu).

Sehubungan itu pelbagai pihak berasa terperanjat apabila baru-baru ini Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Pelajaran membayangkan pendirian kerajaan untuk membenarkan sekolah membuat pilihan sama ada meneruskan dasar PPSMI atau sebaliknya.
Pendirian tersebut amat berbeza semangatnya daripada pengumuman yang beliau lakukan tahun lepas, untuk memansuhkan PPSMI mulai 2012.  

Sesuatu dasar kerajaan (termasuk untuk memansuhkan PPSMI mulai 2012, empat bulan dari sekarang) mestilah bersifat merata dan menyeluruh. Tidak boleh mana-mana kumpulan kecil dan serpihan untuk menebuk dasar itu di mana-mana, lalu menghidupkan dasar PPSMI semula.

Jika kumpulan kecil dan serpihan itu mewakili elit di bandar dan kota, yang kaya raya, maka mereka boleh menghantar putera puteri mereka ke  sekolah swasta atau sekolah antarabangsa, dan jangan dibiarkan menebuk dasar pemansuhan PPSMI mulai 2012 menurut selera mereka.

Kerajaan, khususnya Kementerian Pelajaran pastilah telah menerima “Kajian Tahap Kompetensi Guru dalam Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik Menggunakan Bahasa Inggeris Serta Implikasinya Terhadap Pembangunan Modal Insan Murid” (2008, setebal 186 halaman tidak termasuk tiga lampiran) oleh Pemuafakatan Badan Ilmiah Nasional (PEMBINA).

Kajian ini dengan jelas menunjukkan kompetensi guru yang boleh dipersoalkan, yang mengakibatkan kelemahan pembangunan modal insan murid khususnya di luar bandar, Felda dan sebagainya.

Prinsip ketamadunan kerajaan harus berpegang kepada kajian yang berwibawa, menyeluruh dan mendalam seperti dilakukan PEMBINA.

Sebarang polisi yang tidak didasari kajian akan goyah dalam tempoh yang pendek. Bagi pejuang bahasa Melayu dan mereka yang yakin akan kemampuan bahasa kebangsaan sebagai bahasa ilmu moden, dapatan PEMBINA adalah pendorong utama kepada ‘cadangan’ pemansuhan dasar PPSMI mulai 2012, dan dengan itu mereka tidak perlu lagi turun ke jalan raya untuk mendesak pemansuhan PPSMI.

Akan tetapi jika dasar PPSMI hidup semula selepas ditalqinkan, ia adalah zombie baru. Mamat Khalid pun tahu bagaimana cara  untuk menewaskan zombie!


SUMBER : MALAYSIAKINI