SEJARAH

SEJARAH PENUBUHAN GPMS:

Kemunduran bangsa Melayu di bidang ekonomi, sosial dan politik telah menjadi pendorong yang kuat ke arah penubuhan Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS) pada 14 dan 15 Ogos 1948. Atas hasrat untuk mengatasi segala kekurangan tersebut maka telah berkumpul beberapa orang pelajar Melayu Maktab,Raffles dan Maktab Perubatan Singapura bagi menaja penubuhan sebuah badan pelajar Melayu peringkat kebangsaan yang bertujuan untuk menggabungkan semua badan pelajar yang sedia wujud ketika itu.

Kesedaran orang Melayu khususnya di kalangan pelajar tentang kemunduran dalam tiga (3) lapangan hidup tersebut telah bermula sejak awal tahun 1900 lagi. Sekitar tahun 1906 satu percubaan radikal untuk merubah cara fikir dan nilai-nilai hidup yang dianggap merugikan seperti halangan yang dikenakan kepada anak gadis untuk bersekolah dan sikap yang tidak menggalakkan anak-anak muda yang terdidik di Timur Tengah. Ada pun yang anak-anak tersebut dan yang terkemuka ialah Syed Al Hadi, Sheikh Tahir Jalaluddin dan Syed Salim Al Kalali.

Di bidang ekonomi pula, seorang pemikir muda iaitu Zainal Abidin Ahmad (Za'aba) telah menulis satu rencana khas tentang kemiskinan orang Melayu sebagaimana yang tersiar dalam Al Ikhwan pada 16 Mac 1927. Manakala di bidang politik telah bangkit satu angkatan pelajar dari Sultan Idris Training College (SITC) yang telah bekerja keras dalam usaha mereka membebaskan negara dari belenggu penjajahan. Dengan mendapat asuhan semangat dari guru-guru muda seperti Abdul Hadi Hassan dan Harun Aminurashid, para pelajar tersebut yang diketuai oleh Ibrahim Haji Yaacob telah merintis perjuangan siasah secara kolektif.

Walau bagaimanapun, semua tuntutan dan perjuangan tersebut telah menjadi semakin berkesan hanya setelah tamatnya Peperangan Dunia Kedua, di mana pada masa itu satu kesedaran nasionalisme telah menjadi social force akibat berlakunya penyebaran idea mengenai kemerdekaan dan pembangunan. Kemenangan Jepun dalam peperangan tersebut dan hasrat Inggeris untuk menjadikan Persekutuan Tanah Melayu sebagai negara jajahan dengan konsep 'Kesatuan Malaya' telah menumbuhkan secara spontan satu peribadi Melayu yang mementingkan rasa ketuanan di negara sendiri.

Sebenarnya GPMS telah pun melalui empat (4) peringkat masa iaitu dengan penubuhan beberapa kumpulan pelajar Melayu yang dengan sedar telah berusaha meningkatkan kualiti pelajaran dan pendidikan orang Melayu.

Peringkat Pertama ialah pada tahun 1937 di mana telah tertubuhnya 'Malay Boys League' di Penang Free School ; Kedua, pada tahun 1945 dengan tertubuhnya 'Kesatuan Penuntut Melayu Victoria Institution' ; Ketiga, pada tahun 1947 iaitu dengan tertubuhnya 'Kesatuan Penuntut Melayu Selangor' ; dan Keempat, pada tahun 1948 apabila tertubuhnya 'Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS)'.

Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung 1948

Syed Hussein Al Attas dalam bukunya, `The Intellectuals and Developing Societies' menulis :
Intellectuals thrive, when societies undergo a crisis, when something great ia at stake. The intellectuals came on the sceneoin their countries when they needed reform and a conceptual articulation of nationalism.

Kenyataan Al Attas tersebut adalah tepat untuk memaparkan sejarah penubuhan GPMS, Ketetapan tersebut adalah disebabkan suasana yang sedang dihadapi oleh bangsa Melayu ketika itu lantaran kurangnya pelajar Melayu di Peringkat pengajian tinggi. Akibat dari keadaan inilah maka isu utama yang menjadi pokok perbincangan selepas Perang Dunia Kedua ialah bagaimana caranya bagi mengatasi masalah tersebut yang sudah dianggap sebagai satu krisis kebangsaan yang mesti diatasi.

Seiring dengan hal tersebut hasrat untuk meramaikan pelajar Melayu di pusat pengajian tinggi telah menjadi social goal di kalangan masyarakat Melayu. Aminuddin Baki seorang pelajar Universiti Malaya Singapura dalam satu tulisannya menulis :

'Memandang pada pentingnya universiti itu bukan sahaja menjadi tempat mempelajari ilmu pengetahuan tinggi, tetapi juga sebagai tempat ' membentuk corak Melayu pada masa hadapan dan tempat asuhan pemimpin-pemimpinnya, maka tak dapat tidak jika bangsa kita ingin hidup maju dan mulia, maka terpaksalah bilangan penuntut kita diperbanyakkan lagi. Bangsa kita kekurangan doktor, peguam, ahli ikhtisas dan kekurangan dalam segala-­galanya. Kepada universiti itulah seharusnya kita mengarah pandangan berat memperbaiki keadaan kita yang serba serbi kekurangan ini'.

Pada pertengahan tahun 1948, Abdul Wahab Ariff iaitu Presiden Persatuan Mahasiswa Islam Kolej Raffles dan Perubatan Singapura dalam ucapan tahunannya dengan tegas menyatakan,

'........ The Malay community was at present underrepresented at the upper educational levels. The Federation means nothing much to the present generation of Malay. Out of 2,200,000 Malays in the whole Malaya there are 25 Malay students out of 312 in the Medical College, 33 out of 300 in Raffles College and of 200 Malayan students in the United Kindom, there are only 38 Malays....'

Menyedari bahawa semangat yang meluap-luap sahaja tidak akan dapat menyelesaikan masalah, dan belajar dari peristiwa penentangan orang Melayu terhadap Malayan Union di mana orang Melayu telah bersatu dan kemudiannya telah menubuhkan Parti Kebangsaan Melayu Bersatu, maka timbullah fikiran di kalangan para pelajar Melayu itu untuk menggabungkan semua Kesatuan Penuntut Melayu negeri-negeri dan badan-badan pelajar di maktab-maktab ke dalam satu gabungan pelajar peringkat kebangsaan.

Cadangan ini sebenarnya bermula setelah Abdul Wahab Ariff menyampaikan ucapan tahunan dalam satu jamuan yang dianjurkan oleh Persatuan Pelajar Islam Maktab Raffles dan Maktab Perubatan Singapura di Hotel Adetphi yang antara lain telah menggesa agar ditubuhkan sebuah badan pelajar Melayu yang dapat menyatukan seluruh badan pelajar di Tanah Melayu dan diharapkan agar badan tersebut dapat menjalankan usaha meninggikan kualiti pelajaran pelajar-pelajar Melayu. Antara yang 

hadir di majlis jamuan tersebut ialah seorang pelajar tahun pertama Maktab Raffles yang berasal dari Chemor, Perak iaitu Aminuddin Baki.

Dalam satu pertemuan di antara Aminuddin dengan Abdul Wahab Ariff, Aminuddin telah menyatakan kegembiraannya mendengar hasrat Abdul Wahab Ariff untuk menggabungkan badan-badan pelajar Melayu ke dalam satu badan gabungan. Aminuddin juga telah menyatakan tentang kegagalan beliau dalam usaha awalnya untuk menggabungkan beberapa buah badan pelajar Melayu ke dalam satu Kesatuan di Malaya.

Pada pertemuan tersebut juga, Aminuddin telah meminta Abdul Wahab Ariff meneruskan hasrat dan cita-citanya untuk menggabungkan badan pelajar Melayu dan memainkan peranan utama dalam usaha tersebut. Pada pendapat Aminuddin, Abdul Wahab Ariff adalah orang yang paling tepat untuk menjalankan usaha ke arah lahirnya sebuah badan gabungan peringkat kebangsaan.

Anggota Jawatankuasa Penaja yang dilantik adalah para pelajar Maktab Raffles dan Maktab Perubatan Singapura yang terdiri daripada Abdul Wahab Ariff sebagai Pengerusi, Aminuddin Baki sebagai Setiausaha, Ahmad Ridhuan Haji Zainuddin sebagai Penolong Setiausaha, Abdullah Majid sebagai Bendahari, Siti Hasmah Mohd. Ali wakil Pemudi. Ahli Jawatankuasa pula terdiri daripada Mohamad Nor Marahakim, Wan Sulaiman Pawanteh-dan Abdul Rahim Ishak.
Ahli Jawatankuasa Penaja tersebut telah mengadakan mesyuarat bagi membincangkan beberapa perkara mengenai kongres dan penubuhan sebuah gabungan pelajar. Tarikh 14 dan 15 Ogos 1948 telah dipilih sebagai tarikh untuk mengadakan kongres dan penubuhan badan pelajar tersebut. Jawatankuasa tersebut juga telah bersetuju bahawa kongres tersebut akan diadakan di Kuala Lumpur dan Persatuan Penuntut Muslim Technical College, Kuala Lumpur akan menjadi tuan rumah kongres tersebut. Jemputan untuk menghadiri kongres telah dihantar kepada semua badan pelajar di negeri-negeri seperti Selangor, Pahang dan Perak serta badan-badan pelajar di Maktab Teknik Kuala Lumpur dan Maktab Pertanian Serdang.

Kongres Penuntut Melayu Malaya telah diadakan selama dua (2) hari iaitu pada hari Sabtu dan Ahad, 14 dan 15 Ogos 1948 dengan dipengerusikan oleh Aminuddin Baki. Tujuh (7) buah badan pelajar telah menghadiri kongres tersebut. Badan-badan tersebut adalah Persatuan Penuntut Muslim Technical College Kuala Lumpur, Persatuan Persuratan Penuntut Melayu Maktab Pertanian Serdang, Perhimpunan Pelajar Melayu Insaf Perak, Kesatuan Persuratan Penuntut Melayu Pahang (KPMP), Kesatuan Persuratan Penuntut Melayu Selangor (KPPMS), Kesatuan Persuratan Penuntut Melayu Selangor Cawangan Kuala Lumpur dan Kesatuan Persuratan Penuntut Melayu Selangor Cawangan Kajang.

Persidangan tersebut telah membincang dan kemudiannya meluluskan rangka Perlembagaan, Panji-panji dan juga telah mengesahkan Surat Ikrar penubuhan sebuah badan pelajar yang diberi nama Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS).