DOKUMENTARI GPMS MENITI PERJUANGAN ANAK BANGSA
Saturday, 5 November 2011
LAGU RASMI GPMS
Timbulnya Gabungan Pelajar Melayu,
Setelah menempuh halangan,
Bahagia hendaknya memimpin pelajar,
Bagi ibu kandungan.
Kekal berpanjangan, khidmat mulia,
Dengan tulus dan setia,
Cekal Bersatu lambang kita,
Menuntut hingga berjaya *(ulang dua kali)
Dengan tulus dan setia,
Cekal Bersatu lambang kita,
Menuntut hingga berjaya *(ulang dua kali)
Ciptaan : Allahyarham Yub Rawan.
MEMORANDUM MAHASISWA/I UPSI KEPADA TPM MERANGKAP MENTERI PELAJARAN
MEMORANDUM BERSAMA
MAHASISWA ISMP
UNIVERSITI PENDIDIKAN SULTAN IDRIS
MENUNTUT HAK PENEMPATAN GRADUAN ISMP
KEPADA : Yang Amat Berhormat Tarikh : 3 November 2011
Tan Sri Muhyiddin Yassin
Timbalan Perdana Menteri
Merangkap
Menteri Pelajaran Malaysia
PENDAHULUAN
Penubuhan dan pengiktirafan Universiti Pendidikan Sultan Idris sebagai institut pengajian tinggi ulung yang memberi fokus dan komitmen terhadap usaha meningkatkan profesion keguruan suatu masa dahulu dianggap sebagai usaha bersejarah. Buat julung kalinya, negara kita mempunyai sebuah universiti khusus yang mampu mengeluarkan pendidik berkualiti bagi memastikan sektor pendidikan negara terus maju. Mahasiswa yang menuntut ilmu di Universiti ini rata-rata adalah bakal graduan yang bakal memegang ijazah pendidikan; satu pengiktirafan kukuh terhadap kelayakan graduan UPSI untuk bergelar pendidik ataupun guru.
Walaubagaimana pun, setelah beberapa tahun, setelah pelbagai dasar dirangka, pelbagai kajian dilaksanakan, universiti ini kini berhadapan dengan satu krisis yang berpanjangan dan masih belum menampakkan jalan penyelesaian iaitu penempatan graduan di sekolah-sekolah serata egara. Masalah penempatan ini telah berlanjutan sebegitu lama. Pelbagai jalan usaha dan rundingan baik dari pihak pengurusan, pentadbir, mahupun peringkat mahasiswa telah jatuh sia-sia. Usaha berterusan pelbagai pihak untuk menegaskan bahawa hak penempatan seharusnya menjadi milik graduan-graduan ISMP hampir menjadi seperti mencurah air ke daun kladi. Semuanya tidak diambil serius oleh pihak berwajib.
Mahasiswa ISMP terutama sekali di UPSI kini berasa lemas dan tertekan. Dengan segulung ijazah yang diperolehi hasil usaha keras selama 4 tahun pengajian bakal jadi segulung kertas kosong yang tidak laku di pasaran. Umum ketahui, graduan UPSI kebanyakkannya hanya mampu menceburi bidang pendidikan. Malah, latihan yang diterima di kampus dan kuliah juga bukan latihan untuk menjadi akauntan, arkitek, doktor, mahupun peguam, sebaliknya adalah pendidik, atau secara jelasnya; GURU. Di Negara ini, penempatan guru pula ditentukan oleh pihak kementerian.
Kenyataan terbaru Timbalan Perdana Menteri, merangkap Menteri Pelajaran, Tan Sri Muhyiddin Yassin baru-baru ini yang dipetik dari Buletin Utama TV3 30 Oktober 2011 (Ahad) telah mengesahkan status graduan ISMP: kami tiada peluang kerja yang cerah. YAB TPM malah secara bersahaja mengusulkan agar graduan ISMP mencari kerja lain dahulu. Di peringkat mahasiswa, kenyataan ini telah menimbulkan kekecewaan. Banyak hati yang remuk, banyak mata yang bergenang tangisan.
Kami di peringkat pimpinan mahasiswa menerima banyak maklum balas aduan serta keluhan dari mahasiswa dan graduan yang kecewa dengan kenyataan tersebut. Ramai beranggapan, kenyataan TPM itu sebagai tidak bertanggungjawab.
Keluhan ini sebenarnya ada asasnya. Di peringkat mahasiswa, banyak pihak telah menjalankan kajian kes bagi menyokong tuntutan kami ini. Antaranya, mengikut kenyataan Timbalan Menteri Pelajaran, kekosongan jawatan guru di sekolah akan di isi oleh lebih 7000 lepasan GSTT atau Guru Sandaran Tidak Tetap. Mengapa hal ini berlaku? Mengapa kekosongan itu di isi oleh sekelompok golongan yang pada hemat kami, jauh di bawah kelayakan sebenar untuk bergelar guru? Mengapa kekosongan itu tidak diberi kepada graduan ISMP yang ternyata telah dilatih secara khusus untuk menjadi guru?
Pelbagai lagi persoalan dan perdebatan mengenai isu ini boleh dibincangkan. Kami telah pun menyediakan sebuah kertas kerja untuk menyokong tuntutan kami dan akan kami lampirkan bersama.
TUNTUTAN
Berhadapan dengan isu yang melanda ini, kami di peringkat mahasiswa telah sepakat, dengan menolak segala ideologi dan pegangan politik mahupun peribadi, mengemukakan tuntutan demikian untuk diberi perhatian serius dan diselesaikan DENGAN KADAR SEGERA.
1. KAMI MAHASISWA PENDIDIKAN MENUNTUT AGAR KERAJAAN MELALUI KEMENTERIAN PELAJARAN MEMBERI JAMINAN POSTING GRADUAN ISMP YANG TELAH DIBERI KEPADA GSTT DAN DPLI/KPLI.
2. KAMI MAHASISWA PENDIDIKAN MENUNTUT AGAR KEMENTERIAN MENGELUARKAN UNJURAN PENEMPATAN YANG LEBIH TEPAT DAN TELUS AGAR PIHAK UNIVERSITI DAPAT MENYEDIAKAN JUMLAH GRADUAN YANG MENCUKUPI DAN TIDAK LEWAH.
3. KAMI MAHASISWA PENDIDIKAN MENUNTUT AGAR KEMENTERIAN MEMBERI PENGIKTIRAFAN YANG LEBIH KEPADA PEMEGANG IJAZAH PENDIDIKAN BERBANDING YANG LAIN DALAM PROFESION KEGURUAN.
4. KAMI MAHASISWA PENDIDIKAN MENUNTUT AGAR DIADAKAN BAJET KHAS UNTUK PENJAWATAN GURU BARU SERTA MEMPERKEMAS MEKANISME UNJURAN GURU BARU.
5. KAMI MAHASISWA PENDIDIKAN MENUNTUT AGAR MENGHENTIKAN PENGAMBILAN GURU SANDARAN TIDAK TERLATIH (GSTT) SEBAGAI GURU TETAP. GSTT SEHARUSNYA MENJADI SOKONGAN, BUKAN PILIHAN UTAMA ATAU PRIORITI. USAHA INI SECARA JELAS MENYUMBANG KEPADA MASALAH GURU TIDAK PROFESIONAL DAN TIDAK BERKUALITI.
6. KAMI MAHASISWA PENDIDIKAN MENUNTUT AGAR KEMENTERIAN TIDAK MENGAMBIL JALAN MUDAH UNTUK MENGURANGKAN MASALAH PENGANGGURAN DENGAN MENAWARKAN PELAN DPLI/KPLI KEPADA LEPASAN IJAZAH BUKAN PENDIDIKAN. USAHA INI DILIHAT SEBAGAI USAHA MEMBUNUH USAHA MELAHIRKAN GURU PROFESIONAL.
7. KAMI MAHASISWA PENDIDIKAN MENUNTUT AGAR DIPERKEMASKAN LAGI PELARASAN ANTARA KEMENTERIAN PELAJARAN MALAYSIA DENGAN KEMENTERIAN PENGAJIAN TINGGI MALAYSIA BERKAITAN HAL EHWAL POSTING PARA GRADUAN ISMP.
Memorandum ini telah dikeluarkan dan disokong oleh pimpinan dan aktivis mahasiswa dari Universiti Pendidikan Sultan Idris.
Memorandum ini juga telah mendapat persetujuan lebih 10,000 mahasiswa ISMP dari UPSI dan IPT yang turut bekerjasama. Kami telah lampirkan tandatangan mahasiswa yang bersetuju dengan tuntutan kami.
Meletakkan yang HAK kepada tempatnya adalah kewajipan seorang pemimpin.
Sekian, terima kasih.
Thursday, 3 November 2011
Tamadun Melayu dan PPSMI
Teras-teras jati diri kebangsaan Malaysia berpaksi kepada bahasa Melayu dan agama Islam(tanpa menafikan hak serta kepentingan bahasa dan kepercayaan lain).
Di dalam Perlembagaan Persekutuan, antara perkara yang disebut ialah Perkara 32(1) yang memaktubkan kedudukan raja-raja Melayu; Perkara 152(1) tentang bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan dan bahasa rasmi; dan Perkara 3(10) mengenai Islam sebagai agama Persekutuan.
Berhubung perkara yang menyentuh bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan dan bahasa rasmi, mereka yang berjiwa Melayu dan rakyat Malaysia yang terbuka minda untuk bergerak ke hadapan bersama-sama jati diri kebangsaannya, pastilah ingin melihat bahasa kebangsaan itu diperkasakan sebagai bahasa rasmi dan bahasa kebangsaan, termasuk sebagai bahasa ilmu pengetahuan.
Golongan yang tidak yakin bahawa bahasa Melayu boleh menjadi bahasa ilmu tinggi, lebih disebabkan kelemahan mereka menguasai bahasa Melayu, bukan kerana kelemahan bahasa Melayu. Dan semua pejuang bahasa kebangsaan bukanlah golongan fanatik, berpandangan jumud atau berusaha mengundurkan bangsanya ke belakang.
Pejuang-pejuang bahasa selalu memetik kebijakan Hang Tuah yang menguasai 12 bahasa, sebagai suatu unjuran profetik ‘pujangga penulis’ karya agung itu bahawa setiap bangsa akan menjadi lebih maju jika dapat menguasai lebih daripada satu bahasa. Akan tetapi walaupun menguasai pelbagai bahasa, setiap bangsa harus meletakkan bahasa kebangsaannya dimercunya yang tinggi, atau seperti sepotong puisi Sasterawan Negara Usman Awang, “manakan sama bahasa bunda.”
Jika menurut tiga kriteria yang dikenalpasti oleh Charles Ferguson, sesungguhnya bahasa Melayu sudah dianggap sebagai ‘bahasa maju.’
Tiga kriteria Charles Ferguson itu ialah (a) Bahasa itu sudah mempunyai sistem tulisan. Dalam hubungan ini bahasa Melayu telah mempunyai sistem tulisannya sendiri – sama ada dalam jawi atau pun rumi; (b) Bahasa itu sudah mempunyai suatu ragam atau bentuk yang mengatasi segala dialek bahasa itu. Bahasa Melayu jelas mengatasi segala dialek, kerana di Malaysia dialek tidak mempunyai penerbitan bakunya; dan (c) Bahasa itu sudah mampu digunakan sebagai alat untuk mengungkapkan ilmu dan pemikiran moden.
Ini jelas terbukti dengan penerbitan pelbagai buku dalam bidang dan subbidang ilmu pengetahuan dalam bahasa Melayu, sejak kurun ke-12 Masihi lagi, dan memasuki era ‘moden’nya sejak sebelum merdeka lagi hingga memuncak mutakhir ini.
Tradisi ilmu dalam bahasa Melayu telah berkembang, termasuk di IPTA, umpamanya di UKM sejak awal tahun 1970-an. Tokoh ilmuwan Selangor 2011, Dr Shahril Mohamad Zain (mantan profesor fizik dan matematik di UKM) pernah membentangkan fakta bahawa UKM telah menghasilkan lebih 450 tesis Ph.D dan lebih 2,000 tesis Sarjana (MA & M.Sc.) dalam bidang sains dan pelbagai bidang lain, yang ditulis dalam bahasa Melayu.
Ini membuktikan bahawa bahasa Melayu boleh menjadi bahasa pengantar untuk pelbagai bidang ilmu pengetahuan moden di IPT, dan memanfaatkan penguasaan bahasa asing sebagai pelengkap sebagaimana saranan profetik Hang Tuah.
Tamadun Melayu boleh diperkasakan jika terdapat ilmu-ilmu pengetahuan moden (termasuk sains & matematik) disampaikan dan ditulis dalam bahasa ini (Melayu).
Sehubungan itu pelbagai pihak berasa terperanjat apabila baru-baru ini Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Pelajaran membayangkan pendirian kerajaan untuk membenarkan sekolah membuat pilihan sama ada meneruskan dasar PPSMI atau sebaliknya.
Pendirian tersebut amat berbeza semangatnya daripada pengumuman yang beliau lakukan tahun lepas, untuk memansuhkan PPSMI mulai 2012.
Sesuatu dasar kerajaan (termasuk untuk memansuhkan PPSMI mulai 2012, empat bulan dari sekarang) mestilah bersifat merata dan menyeluruh. Tidak boleh mana-mana kumpulan kecil dan serpihan untuk menebuk dasar itu di mana-mana, lalu menghidupkan dasar PPSMI semula.
Jika kumpulan kecil dan serpihan itu mewakili elit di bandar dan kota, yang kaya raya, maka mereka boleh menghantar putera puteri mereka ke sekolah swasta atau sekolah antarabangsa, dan jangan dibiarkan menebuk dasar pemansuhan PPSMI mulai 2012 menurut selera mereka.
Kerajaan, khususnya Kementerian Pelajaran pastilah telah menerima “Kajian Tahap Kompetensi Guru dalam Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik Menggunakan Bahasa Inggeris Serta Implikasinya Terhadap Pembangunan Modal Insan Murid” (2008, setebal 186 halaman tidak termasuk tiga lampiran) oleh Pemuafakatan Badan Ilmiah Nasional (PEMBINA).
Kajian ini dengan jelas menunjukkan kompetensi guru yang boleh dipersoalkan, yang mengakibatkan kelemahan pembangunan modal insan murid khususnya di luar bandar, Felda dan sebagainya.
Prinsip ketamadunan kerajaan harus berpegang kepada kajian yang berwibawa, menyeluruh dan mendalam seperti dilakukan PEMBINA.
Sebarang polisi yang tidak didasari kajian akan goyah dalam tempoh yang pendek. Bagi pejuang bahasa Melayu dan mereka yang yakin akan kemampuan bahasa kebangsaan sebagai bahasa ilmu moden, dapatan PEMBINA adalah pendorong utama kepada ‘cadangan’ pemansuhan dasar PPSMI mulai 2012, dan dengan itu mereka tidak perlu lagi turun ke jalan raya untuk mendesak pemansuhan PPSMI.
Akan tetapi jika dasar PPSMI hidup semula selepas ditalqinkan, ia adalah zombie baru. Mamat Khalid pun tahu bagaimana cara untuk menewaskan zombie!
SUMBER : MALAYSIAKINI
KAMI BUKAN BERPIKET ATAU BERDEMONTRASI
Kenyataan rasmi daripada Yang Dipertua GPMS UPSI mengenai rapat umum yang dianjurkan bersama-sama Pemimpin-pemimpin Pimpinan Bitara (ASPIRASI), Mahasiswa Pendidik (MP), Smile, Legasi Mahasiswa Progresif (LMP) serta GPMS UPSI sendiri secara terang hari ini telah disalah ertikan oleh media, antaranya mengatakan kami berpiket dan berdemontrasi.
Menurut YDP GPMS UPSI Mohammad Farhan atau lebih dikenali sebagai Ds Farhan, “persetujuan bagi menolak sebarang ideologi politik dan demontrasi telah dipersetujui bersama oleh pemimpin-pemimpin di UPSI yang ingin membantu mahasiswa dalam menyelesaikan isu posting yang menjadi isu hangat sejak kebelakangan ini apabila kenyataan Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin pada 30 Oktober 2011 yang mengatakan bahawa hanya tajaan KPM sahaja akan dipostingkan, itupun cepat atau lambat. Mahasiswa yang hadir di rapat umum pada 2 November 2011 di sudut Pidato di UPSI hanya menuntut HAK HAKIKI mahasiswa dalam jurusan pendidikan untuk dipostingkan apabila lebih kurang 7000 mahasiswa-mahasiswi seluruh Negara yang sudah bergraduat masih lagi menganggur setelah 6 bulan.”
Akhbar tempatan seperti Harakah dan Malaysiakini mengatakan mahasiswa yang hadir berpiket dan berdemontrasi adalah satu kenyataan yang tidak benar sama sekali. Memetik kenyataan dalam harakah mengatakan,
"Piket tengah hari semalam telah dianjurkan oleh Gabungan Bertindak Mahasiswa yang dicetus oleh wakil LMP sebuah 'front' Solidariti Mahasiswa Malaysia (SMM) Adam Adli dan wakil Gabungan Graduan Ijazah Sarjana Muda Pendidikan, Wan Ahmad Fathi.
"Gabungan mahasiswa ini turut digerakkan bersama wakil Gabungan Mahasiswa Islam SeMalaysia (GAMIS), dan Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS), serta 'front' mahasiswa UPSI yang lain,"
Antara lain tajuk dalam Malaysiakini juga Mahasiswa berdemo tuntut jaminan penempatan juga adalah tidak benar sama sekali. “Saya menyangkal dakwaan mengatakan mahasiswa-mahasiwa berdemo sama sekali menurut YDP GPMS UPSI yang hadir bersama-sama mempertahankan hak posting kerana UPSI melahirkan guru-guru yang professional dalam bidang Pendidikan Negara."
Mahasiswa UPSI juga mendesak supaya pihak KPM memberikan kenyataan rasmi mengenai bila borang boleh dikeluarkan dan bila temuduga untuk mahasiswa diseluruh Negara yang sudah bergraduat dalam bidang pendidikan ini boleh dipostingkan. Pihak mahasiswa juga meminta supaya pihak KPM mendahulukan mahasiswa yang mempunyai Ijazah Sarjana Muda Pendidikan (ISMP) untuk dipostingkan berbanding Guru Sandaran Tidak Terlatih (GSTT).
Pihak Mahasiswa juga tidak menyalahkan GSTT kerana pihak KPM yang membuka laluan untuk mereka memohon sebagai guru sandaran namun ISMP harus didahulukan. Pihak mahasiswa UPSI kini sedang mengumpulkan sebanyak 10 ribu tanda tangan untuk dihantar bersama-sama memorandum kepada Menteri Pelajaran Tan Sri Muhyiddin Yassin. Diharap semua mahasiswa-mahasiswi UPSI memberikan kerjasama baik dan menyokong hasrat pemimpin-pemimpin UPSI menyelesaikan isu posting ini secepat mungkin.
Wednesday, 2 November 2011
5,000 mahasiswa UPSI tuntut jaminan
5,000 mahasiswa UPSI tuntut jaminan
TANJUNG MALIM 2 Nov. - Seramai 5,000 mahasiswa Ijazah Sarjana Muda Pendidikan (ISMP) Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) menuntut Kementerian Pelajaran memberi jaminan penempatan sekolah kepada mereka sama seperti Guru Sandaran Tidak Terlatih (GSTT).
Yang Dipertua Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) UPSI, Afiq Fikri Mislan berkata, graduan UPSI telah dilatih untuk menjadi guru sebenar, sekali gus mengurangkan isu guru tidak profesional, berkualiti serta berkelayakan.
"Mengapa kekosongan jawatan guru diberikan kepada lepasan GSTT yang pada hemat kami tiada kelayakan sebenar untuk bergelar guru," katanya kepada Utusan Malaysia selepas menyerahkan memorandum tuntutan penempatan pemegang ijazah itu kepada Timbalan Naib Canselor UPSI, Profesor Dr. Noraini Idris di sini hari ini.
Tuntutan tersebut turut disokong oleh Gabungan Graduan ISMP Malaysia, Legasi Mahasiswa Progresif UPSI dan Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung UPSI.
Dalam memorandum setebal lima muka surat itu, mereka turut menggesa Kementerian Pelajaran menghentikan pengambilan GSTT sebagai guru tetap kerana golongan tersebut sepatutnya menjadi sokongan dan bukan pilihan utama.
Ahad lalu, Timbalan Menteri Pelajaran, Datuk Dr. Wee Ka Siong memberitahu, kekosongan jawatan guru di sekolah seluruh negara akan diisi oleh 7,000 GSTT.
Afiq Fikri berkata, pihaknya berharap UPSI akan menyerahkan memorandum tersebut kepada Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin selaku Menteri Pelajaran.
"Kami menuntut agar kementerian tidak menawarkan pelan Diploma Pendidikan Lepasan Ijazah (DPLI) dan Kursus Perguruan Lepasan Ijazah (KPLI) kepada graduan lepasan ijazah bukan pendidikan kerana ia mampu membunuh usaha melahirkan guru profesional.
"Kementerian juga perlu mengeluarkan unjuran penempatan yang lebih tepat dan telus agar pihak universiti dapat menyediakan jumlah graduan yang mencukupi," katanya.
Mengulas lanjut, Afiq Fikri berkata, tuntutan itu dibuat bagi menjamin masa depan mahasiswa dan graduan UPSI.
"Kebanyakan graduan UPSI menganggur kerana mereka tidak diterima bekerja di sektor lain atas alasan ijazah pendidikan yang dimiliki tidak menepati kehendak mereka.
"Justeru, peluang graduan ini untuk bekerja hanyalah dalam bidang pendidikan tetapi hak kami sebagi guru telah dinafikan oleh golongan GSTT tersebut," ujarnya.
SUMBER : UTUSAN MALAYSIA
Monday, 31 October 2011
MEMPERJUANGKAN HAK-HAK POSTING MAHASISWA/I UPSI
MEMOHON MAHASISWA/I UPSI TURUN UNTUK KITA BERSAMA-SAMA MENUNTUT HAK "POSTING" DAN KAMI TELAH BERBINCANG BERSAMA PIMPINAN BITARA, MAHASISWA PENDIDIK, LEGASI MAHASISWA PROGRESIF, GABUNGAN GRADUAN ISMP MALAYSIA, SMILE SAHABAT MAHASISWA UNIVERSITI DAN GPMS UNTUK KITA TURUN BERAMAI-RAMAI DI SUDUT PIDATO UNTUK MENGUMPULKAN 10 RIBU TANDA TANGAN SOKONGAN POSTING UNTUK MAHASISWA/I UPSI.
Subscribe to:
Posts (Atom)